Rompin, 20 April 2017 – Tindakan tiga lelaki menjadikan stor belakang sebuah rumah di Kota Shah Bandar, Muadzam Shah di sini, sebagai markas membungkus dadah berakhir apabila diserbu polis pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor berkata dalam serbuan pada 10 pagi itu, tiga suspek berusia 31, 35 dan 50 tahun yang bekerja sebagai buruh dan mekanik didapati sedang leka membungkus dadah yang dipercayai untuk pasaran sekitar daerah ini.
“Pemeriksaan terhadap suspek dan di dalam stor menjumpai 26 peket plastik lutsinar yang dipercayai dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 112 gram dan 9.86 gram syabu dengan nilai pasaran RM3,600
“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah itu daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Panjang dari Jempol, Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas sebuah penimbang digital dan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Kuantan dekat sini yang digunakan seorang daripada suspek.
Azli menambah suspek berusia 31 tahun mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah, curi dan pecah rumah manakala ujian saringan urin mendapati semua mereka positif dadah jenis morfin, dan menurutnya semua suspek direman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan.
Sementara itu, di MARAN, Ketua Polis Daerah DSP Mazlan Hassan berkata seorang lelaki berusia 45 tahun yang disyaki pengedar dadah diberkas semasa sedang menunggu pelanggan di dalam ladang sawit di Felda 10 di sini, pada 3 petang semalam.
Beliau berkata polis merampas sebuah beg berwarna hitam daripada suspek yang mengandungi lima peket plastik lutsinar berisi serbuk ketulan disyaki dadah jenis heroin dan satu tiub straw mengandungi dadah jenis syabu.
“Dadah tersebut dianggarkan seberat 11.24 gram dan bernilai RM650. Suspek juga didapati positif dadah methamphethamine dan mempunyai empat rekod lampau melibatkan kesalahan dadah,” katanya. Suspek direman seminggu untuk siasatan.
-- BERNAMA