Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

PEMILIK PREMIS HIBURAN DAN PELANGGAN DITAHAN DI JOHOR BAHRU

Johor Bahru, 23 April 2017 - Seorang pemilik premis hiburan dan empat pelanggannya ditahan di bandar raya ini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata serbuan terhadap pusat hiburan yang tidak mempunyai lesen dilakukan pada 1 pagi dengan melibatkan sembilan pegawai dan 27 anggota polis.

"Dalam serbuan itu, polis memeriksa 158 lelaki dan wanita berumur antara 21 dan 59 tahun yang terdiri daripada pekerja serta pelanggan pusat hiburan berkenaan.

"Hasilnya polis menahan pemilik premis terbabit kerana melanggar syarat lesen dan empat pelanggan yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki rakyat Indonesia," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata lelaki tempatan itu merupakan orang dikehendaki  bersabit laporan kes di Brickfields dan Jinjang, Kuala Lumpur tahun lepas atas kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala tiga lelaki rakyat Indonesia itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata polis turut melakukan ujian saringan air kencing secara rawak terhadap 46 pelanggan pusat hiburan itu sebelum mendapati 19 daripadanya positif  dadah jenis methamphetamine, yang melibatkan 18 lelaki tempatan serta seorang lelaki rakyat Indonesia.

Katanya pemilik pusat hiburan serta empat yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS