Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN PENGEDAR DADAH, RAMPAS DADAH BERNILAI LEBIH RM70,000

Johor Bahru, 17 Mei 2017 - Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM70,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sri Purnama di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata penglibatan lelaki berusia 31 tahun itu dalam aktiviti pengedaran dadah masih lagi disiasat.

Bagaimanapun, sebelum serbuan dilakukan, lelaki terbabit dilaporkan telah memecah masuk rumah seorang penduduk di Jalan Hulubalang 2, Taman Ungku Tun Aminah di sini, pada 1 Mei lepas.

Dalam kejadian itu, mangsa kehilangan pelbagai barangan termasuk sebuah televisyen, sebuah komputer riba, seunit telefon bimbit, seutas rantai emas, dua loket emas dan pelbagai dokumen penting.

Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, pihaknya melakukan intipan sebelum akhirnya menyerbu rumah suspek di Kampung Sri Purnama, kira-kira 6.20 petang.

"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 39 ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 39.74 kg dan 36 strip foil yang setiap satunya seberat 101 gram dipercayai mengandungi Eramin 5.

"Polis turut merampas 19 telefon mudah alih pelbagai jenis, 13 utas jam pelbagai jenama, dua unit Ipad, satu loket emas, wang tunai RM2,000 serta sebuah motosikal Yamaha yang pernah dilaporkan dicuri di Taman Perling, di sini," kata Mohd Taib dalam kenyataan di sini.

Suspek yang mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah akan disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 457 serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS