Kepala Batas, 22 Mei 2017 - Tiga lelaki ditahan dan polis merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM333,000 dalam operasi di Butterworth dekat sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Azmi Adam berkata dalam serbuan pada 12.30 tengah hari di sebuah bilik hotel di Bagan Ajam dekat sini, polis menahan dua lelaki berusia 17 dan 31 tahun dan merampas heroin seberat 510 gram dan syabu 37 gram.
"Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di tepi jalan di Taman Senangan, Butterworth yang dipercayai ketua kepada dua lelaki terbabit dan hasil pemeriksaan dalam kereta Toyata Vios dinaiki lelaki terbabit, polis menemui sebuah beg mengandungi 12.537 kilogram heroin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, kesemua yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah sejak empat bulan lepas.
“Remaja berusia 17 tahun itu sudah tidak bersekolah dan telah berkahwin. Dia mempunyai enam rekod jenayah,” katanya.
Beliau berkata dua daripada mereka yang ditahan itu positif dadah dan kesemua mereka direman sehingga 26 Mei.
-- BERNAMA