Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN LAPAN AHLI KONGSI GELAP AKTIF EDAR DADAH DI REMBAU

Seremban, 25 Mei 2017- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menahan lapan lelaki pada Selasa lepas, dipercayai terlibat secara aktif dalam pengedaran dadah jenis syabu dan heroin di sekitar Rembau.

Timbalan Ketua Polis negeri SAC Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek juga merupakan anggota kumpulan kongsi gelap yang terdiri daripada Geng 36 seramai tiga orang, Geng 08 (dua orang) dan Geng 04 tiga orang.

"Kesemua tangkapan berusia lingkungan 24 hingga 32 tahun dan mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Nor Azman Muhammad Yusuf dan Ketua JSJN negeri, Supt Ayub Salim.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

"JSJN negeri mengenal pasti beberapa ahli kumpulan kongsi gelap yang masih aktif dalam pengedaran dadah dan akan mengambil tindakan tegas ke atas semua ahli sindiket, sehingga ke akar umbi," katanya.

Muhamad Zaki berkata dari Januari hingga Selasa lepas, seramai 22 ahli kongsi gelap yang terlibat dalam pengedaran dadah di negeri ini ditahan.

"Secara keseluruhan 51 pengedar ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, berbanding 28 orang dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Muhamad Zaki berkata pihak polis juga mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 ke atas pengedar dadah yang aktif.

"Dari Januari hingga 23 Mei lepas, jumlah sitaan RM1.299 juta berjaya dilaksanakan manakala jumlah lucuthak tempoh yang sama berjumlah RM214,485.60," katanya.

Muhamad Zaki berkata jumlah keseluruhan rampasan dadah bagi tempoh yang sama berjumlah RM367,916.62.

Dadah yang dirampas ialah heroin seberat 4,687.13 gram, ganja (3,671.65 gram), syabu (2,132.61 gram), ketamin (640.44 gram), daun ketum (69.039 kilogram), pil ectasy (443 biji), pil erimin 5 (1,596 biji), pil psikotropik (sebiji) dan air ketum 383.25 liter.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS