Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN SEPASANG KEKASIH DISYAKI TERLIBAT KES SAMUN KEDAI 7-ELEVEN DI PORT DICKSON

Seremban, 25 Mei 2017 - Sepasang kekasih ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan lima kes samun melibatkan premis kedai serbaneka 7-Eleven di sekitar Port Dickson.

Timbalan Ketua Polis negeri SAC Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pasangan kekasih yang berusia 29 dan 35 tahun itu ditahan pada 15 Mei lepas di rumah mereka di Port Dickson.

"Siasatan awal mendapati salah seorang suspek akan memasuki kedai 7-Eleven dengan memakai helmet dan terus mencuri barangan dalam kedai seperti rokok dan wang dari laci kaunter, dan terus melarikan diri menggunakan motosikal.

 Semua barangan samun dipercayai dijual di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur dan mereka juga dipercayai terlibat dengan dua kes samun di Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Nor Azman Muhammad Yusuf dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supt Ayub Salim.

Muhamad Zaki berkata kedua-dua suspek yang memiliki kes jenayah lampau berkait dengan dadah, masih dalam tahanan pihak polis sehingga Isnin depan.

Beliau berkata turut dirampas daripada pasangan ini ialah empat telefon bimbit, beberapa bungkus rokok hasil samun dan sebuah motosikal jenis Honda Dash yang digunakan ketika melakukan kegiatan samun.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata pihak polis telah menahan lima anggota Kumpulan Nusi, yang dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan curi motosikal dan pecah kereta di sekitar Nilai.

Suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 16 hingga 30 tahun, ditahan di Nilai pada 10 Mei lepas.

Kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap disyaki terlibat dalam tujuh kes curi motosikal dan 12 kes pecah kereta.

-- LAGI

 

POLIS-SAMUN 3 (AKHIR) SEREMBAN

 

"Kumpulan ini didapati mencuri motosikal di kawasan perumahan dan tempat letak kereta awam di sekitar Nilai.

Mereka kemudiannya menggunakan motosikal yang dicuri untuk melakukan kegiatan pecah kereta yang diletakkan di bahu jalan yang sunyi pada waktu malam dan barang-barang yang dicuri itu akan dijual secara murah termasuk motosikal kepada individu tertentu," katanya.

Beliau berkata kumpulan ini masih dalam tahanan polis kerana dipercayai turut terlibat dalam kes pecah rumah.

Muhamad Zaki berkata polis telah merampas sebuah kereta jenis Proton Wira, sebuah motosikal dan enam rangka motosikal yang pernah dilaporkan hilang di Nilai, dan barangan lain seperti komputer riba, telefon bimbit, surat pajak gadai dan alatan pecah kereta.     -- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS