Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

19 WARGA CHINA DITAHAN DIPERCAYAI TERLIBAT 'MACAU SCAM'

Shah Alam, 26 Mei 2017 - Seramai 19 warga China ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti penipuan ‘Macau Scam’ dalam serbuan di Taman Subang Mewah, Subang Jaya malam tadi.

Dalam operasi kira-kira 11.30 malam itu, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menahan 14 orang lelaki dan lima wanita China yang kesemuanya berumur lingkungan antara 17 hingga 40 tahun.

Ketua JSJK Selangor ACP Wan Rukman Wan Hassan berkata  sindiket terbabit menjadikan negara ini sebagai pusat operasi bagi menjalankan aktiviti penipuan terhadap rakyat China, namun setakat ini tiada rakyat tempatan dilapor menjadi mangsa kumpulan berkenaan.

"Serbuan dilakukan di sebuah rumah banglo yang dijadikan markas bagi kegiatan kumpulan itu. Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah sebuah kenderaan jenis Honda CRV, komputer pelbagai jenis, sembilan keping kad Union Pay daripada pelbagai bank, telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit router dan modem,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun lepas dan lokasi kegiatan mereka sentiasa berubah bagi mengelak di kesan pihak berkuasa.

Menjelaskan modus operandi kumpulan itu, Wan Rukman berkata suspek akan membuat panggilan telefon dan menyamar sebagai ejen bank tertentu.

“Suspek akan menghubungi mangsa secara rawak dengan menyatakan akaun bank milik mangsa mengalami masalah. Bagi mengatasi masalah itu, suspek kemudiannya akan meminta mangsa melakukan pemindahan wang dari akaun sedia ada milik mangsa ke akaun baharu yang ditetapkan.

“Mangsa yang terpedaya akan memindahkan sejumlah wang ke akaun baharu tersebut. Mangsa hanya akan menyedari mereka ditipu apabila akaun baharu tersebut tidak dapat digunakan selepas proses pemindahan wang selesai,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Dearah Subang Jaya  untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Wan Rukman berkata sehingga lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 158 kertas siasatan  telah dibuka seluruh Selangor berhubung kes penipuan berkaitan komplot tersebut yang melibatkan kerugian kira-kira RM7  juta. - BERNAMA

 

 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS