Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN EMPAT LELAKI CURI FORK LIFT

Bukit Mertajam, 27 Mei 2017 - Polis menahan empat lelaki dipercayai pengedar dadah bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian sebuah folk lift di sebuah kilang di Bukit Tengah, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menahan lelaki pertama berusia 49 tahun di Jalan Padang Lalang, semalam kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum mengesan tiga lagi rakannya empat jam kemudian.

"Tiga lelaki berusia 33 hingga 43 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Bukit Mertajam dan polis turut merampas beberapa telefon bimbit, sebuah lori, kereta serta pelbagai jenis dadah.

"Antara dadah yang dirampas ialah pil eramin 5, heroin dan ketamin serta pelbagai peralatan untuk membungkus bahan terlarang itu. Tiga lelaki itu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah di SPT," katanya di sini hari ini.

Beliau  berkata polis juga menemui semula fork lift berkenaan yang disembunyikan di sebuah stor menyimpan lori di Bukit Mertajam.

Nik Ros Azhan berkata kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan kini direman lima hari bagi membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata polis menahan seorang lelaki kurang upaya (OKU) kerana memiliki dadah jenis heroin dan syabu dalam serbuan di rumah remaja berusia 19 tahun itu di Bukit Teh, di sini semalam.

Katanya dalam serbuan pukul 2 petang itu, lelaki yang kudung tangan sebelah kanan itu dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Machang Bubok sejak beberapa bulan lepas.

-- BERNAMA

 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS