Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN LIMA LELAKI, RAMPAS PIL KUDA BERNILAI RM51,640

Tanah Merah, 9 Ogos 2017 - Polis menahan lima lelaki dan merampas lebih 2,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM51,640 dalam dua serbuan di jajahan ini, pada Isnin dan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Suzaimi Mohamad berkata dalam serbuan pertama pada pagi Isnin, pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Lawang di sini.

“Sebanyak 1,590 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM40,000 dirampas di rumah berkenaan dan kami turut menyita sebuah motosikal yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penjualan dadah terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Suzaimi berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai buruh dan penoreh getah, mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1), Seksyen 39(A) dan Seksyen 12(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selain turut positif dadah jenis metamfetamina.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Beliau berkata dalam satu lagi operasi pada 11.30 malam tadi di Kampung Taman Adabi 1, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 22 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menemukan 582 biji pil kuda bernilai RM11,640. Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS