Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS MELAKA TAHAN 29 ANGGOTA SINDIKET MACAU SCAM

Melaka, 18 Sept 2017- Polis Melaka menahan 29 warga China yang menjadikan sebuah rumah banglo di Vista Kirana di Ayer Keroh di sini sebagai pusat panggilan sindiket 'Macau Scam' melibatkan kerugian bernilai kira-kira RM2 juta.

Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hassan berkata kesemua 26 lelaki dan tiga wanita warga China berusia 20 hingga 48 tahun itu ditahan ketika sedang mengendalikan pusat panggilan bagi sindiket berkenaan kira-kira 12.30 tengah hari pada 14 Sept lepas.

Beliau berkata berdasarkan risikan polis, pusat panggilan sindiket Macau Scam yang beroperasi 24 jam itu telah beroperasi kira-kira dua bulan lepas dan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Hong Kong dan China.

"Anggota sindiket berkenaan akan menghubungi mangsa dari Hong Kong dan China menggunakan 'Voice Over Internet Protocol' dengan meminda nombor pemanggil dan memperdaya mangsa dengan menyatakan mereka memenangi cabutan bertuah bernilai jutaan dolar daripada syarikat di dua negara itu.

"Mangsa yang terpedaya kemudian dikehendaki membuat sejumlah bayaran sebagai cukai dan insurans bagi memindahkan wang yang dimenangi ke dalam akaun mereka," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Supt Baderulhisham Baharudin.

Abd Jalil berkata semua warga China berkenaan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan mereka tidak keluar dari banglo berkenaan sepanjang berada di sana selain makan dan minum mereka dihantar individu lain.

Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan telekomunikasi termasuk telefon, telefon bimbit dan skrip perbualan yang digunakan anggota sindiket untuk memperdaya mangsa.

Mengulas lanjut, katanya anggota sindiket berkenaan juga turut menyamar sebagai pegawai mahkamah atau polis Bukit Aman dan mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan haram seperti along, kongsi gelap dan pengedaran dadah.

Beliau berkata selain itu, anggota sindiket berkenaan juga mendakwa mereka sebagai pegawai bank dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan kad kredit selain memperdaya mangsa dengan memberitahu   anak mereka diculik.

"Sindiket berkenaan menggunakan akaun rakyat tempatan sebagai medium pemindahan wang yang perlu dilakukan mangsa dan anggota sindiket tersebut gagal dihubungi setelah transaksi dilakukan," katanya. 

Beliau berkata kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata kes Macau Scam di negeri itu melibatkan rakyat tempatan sebagai mangsa meningkat kepada 89 kes dengan jumlah kerugian kira-kira RM2 juta dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berbanding 20 kes dengan jumlah kerugian RM1.3 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Justeru, beliau berkata orang awam dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan yang diterima daripada pihak tidak dikenali, membuat semakan tentang panggilan yang diterima dengan pihak sepatutnya, tidak berkongsi maklumat peribadi seperti nombor akaun bank serta nombor kad pengenalan dan tidak meneruskan perbualan sekiranya berasa ragu-ragu.

-- BERNAMA

 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS