Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS PERAK RAMPAS DADAH RM10.5 JUTA BAGI JAN-OGOS

Ipoh, 18 Sept 2017 - Polis Perak merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM10.5 juta menerusi penangkapan 5,573 orang sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak ACP R. Ravi Chandran.

Beliau berkata dadah yang dirampas ialah 79.1 kilogram (kg) syabu, 934.54 gram ketamin, 180,001 biji pil yaba, 18,098 biji pil Erimin 5 dan 2,480 biji pil ekstasi selain dadah jenis tradisional iaitu 76.2 kg ganja dan 32.1 kg heroin.

"Daripada jumlah tangkapan itu, sebanyak 1,664 orang adalah pembekal, 3,813 orang memiliki dadah dan 96 orang ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (LLPK).

"Selain itu, polis menyita harta berkaitan pengedaran dadah bernilai RM4.9 juta sepanjang tempoh berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Ravi Chandran berkata pihaknya sentiasa menjalankan penguatkuasaan untuk mengekang gejala penyalahgunaan dadah daripada berleluasa di negeri ini kerana ia  berada pada tahap membimbangkan walaupun masih terkawal.

Dalam kes terbaru, beliau berkata polis menahan empat lelaki dan seorang wanita dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM200,000 dalam serbuan di Kampar dan Taiping.

Ravi Chandran berkata dalam kes pertama pihak polis menahan seorang wanita berumur 38 tahun serta merampas syabu seberat 3.066 kg dan cecair ethanol dengan anggaran tiga liter bernilai RM214,770 di Pusat Perdagangan, Jalan Kampar dekat Kampar pada Khamis lepas. 

Katanya suspek yang tidak bekerja dan sudah berkahwin serta mempunyai tiga anak itu ditahan di sebuah rumah kedai tiga tingkat kira-kira 12.10 malam. Ujian urin mendapati dia positif methamphetamine  dan kini direman tujuh hari untuk siasatan bermula 14 Sept.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah yang mana suspek pernah ditangkap di Selangor pada Julai tahun lepas di bawah ADB LLPK 1985 dan dikenakan tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak di Batu Gajah sehingga Januari lalu serta dikenakan sekatan di Kampar," katanya.

Dalam kes berasingan, Ravi Chandran berkata polis menahan empat lelaki termasuk dua beradik serta merampas dadah heroin seberat 218.33 gram bernilai RM5,458 di sebuah rumah di Pokok Assam, Taiping, Rabu lepas. 

Katanya kesemua suspek yang berusia lingkungan 17 hingga 23 tahun itu dengan tiga daripada suspek merupakan penganggur ditahan pada pukul 5.30 petang.

"Polis turut menyita dua buah motosikal dengan nilai anggaran RM5,000 dan ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah,” katanya.

Ravi Chandran berkata suspek kini direman seminggu bermula 14 Sept lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.          -- BERNAMA  



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS