Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS P.PINANG RAMPAS 1,282 MESIN JUDI

George Town, 21 Sept 2017 - Polis Pulau Pinang merampas sebanyak 1,282 mesin slot, simulator dan komputer bernilai jutaan ringgit dalam serbuan di 229 premis yang menjalankan aktiviti perjudian di negeri itu sejak Januari hingga 19 Sept lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Samah berkata sepanjang tempoh itu seramai 285 orang penjaga premis perjudian dan 395 individu yang sedang bermain judi turut ditahan.

"Dalam 229 serbuan yang polis jalankan untuk membanteras aktiviti perjudian di Pulau Pinang, kami merampas sebanyak 684 mesin slot, simulator (469), komputer (129), tablet (20), telefon bimbit (lima) dan sebuah komputer riba.

"Selain itu, kami juga merampas wang tunai sebanyak RM93,031 dan polis telah mengenal pasti 25 premis perjudian haram di Pulau Pinang untuk diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama sebanyak 62 surat cadangan pembatalan lesen hiburan bagi premis hiburan keluarga turut diserah kepada pihak berkuasa tempatan bagi membatalkan lesen hiburan kerana pengusahanya melanggar syarat serta menjalankan aktiviti perjudian di premis perniagaan mereka.

Zainol berkata polis masih meneruskan operasi terhadap kegiatan mesin judi di negeri itu dan meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat jika terdapat premis yang menawarkan aktiviti perjudian di kawasan mereka dengan menghubungi talian 04-2221610.

Sementara itu,Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP Rahimi Rais berkata  12 invividu yang sedang leka berjudi ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis judi haram yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga, di Jalan Bukit Bendera, di sini malam tadi.

Beliau berkata dalam serbuan 11 malam itu, 12 lelaki berusia 20 hingga 50 tahun sedang leka berjudi menggunakan mesin simulator dan polis turut merampas 19 mesin judi.

"Berdasarkan siasatan awal, pemilik premis itu telah memanipulasi lesen hiburan keluarga bagi tujuan perjudian dan polis turut merampas sejumlah wang tunai. Semua wang tunai dan 19 mesin judi itu bernilai RM100,000," katanya.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS