Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS RAMPAS SYABU RM21.6 JUTA DI TERENGGANU DAN PULAU PINANG

Kuala Terengganu, 28 Sept 2017 - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 309 kilogram (kg) bernilai RM21.6 juta dalam serbuan berasingan di Terengganu dan Pulau Pinang pada Isnin lepas.

Pengarah JSJN Datuk Seri Mohmad Salleh berkata dalam serbuan pertama di Bukit Payung dekat sini antara 11 malam hingga 11.40 malam, polis menemukan dadah syabu seberat 288 kg bernilai RM20.1 juta dalam sebuah treler yang dimuatkan dalam kampit teh.

Susulan serbuan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan termasuk seorang mualaf di Klang, Selangor dan menyita dua buah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dan Chevrolet Colorado, katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan di Pulau Pinang pada hari yang sama, polis turut menahan tiga lelaki tempatan dan merampas syabu seberat 20.5 kg bernilai RM1.5 juta.

"Kedua-dua rampasan melibatkan sindiket yang berbeza namun kami  percaya kedua-duanya menyeludup dadah tersebut dari negara jiran menerusi sempadan negeri Kelantan.

"Kami percaya ini merupakan rampasan dadah terbesar PDRM tahun ini dan polis percaya jika mendapat kerjasama daripada orang ramai sindiket penyeludupan dadah akan dapat dibanteras," katanya.

Mohmad Salleh berkata kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 35 hingga 50 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan saringan air kencing juga menunjukkan mereka negatif dadah.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan," katanya.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS