Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN ENAM LELAKI MERUSUH DI PREMIS HIBURAN DI IPOH

POLIS TAHAN ENAM LELAKI MERUSUH DI PREMIS HIBURAN DI IPOH

IPOH, 10 Okt (Bernama) – Polis menahan enam lelaki warga tempatan dipercayai terlibat melakukan rusuhan dan mencederakan seorang lelaki di sebuah pusat hiburan, di Medan Tasek Perdana di sini, kira-kira pukul 2 pagi Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata semua lelaki berkenaan  berumur linkungan 37 hingga 49 tahun ditahan di sekitar Ipoh pada petang hari kejadian.

Katanya seorang peniaga lelaki bermur 32 tahun membuat laporan polis ‪pada pukul 1.48 tengah hari pada hari kejadian mendakwa sekumpulan lelaki bersenjatakan parang membuat kacau dan meminta wang perlindungan sebanyak RM2,000 setiap bulan di pusat hiburan berkenaan.

“Mangsa turut dibelasah di bahagian mata dan tangan kanan selepas bertanya kepada suspek sebab mereka membuat kacau,” katanya kepada pemberita ketika selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh di sini,  hari ini.

Sum berkata kesemua suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Dalam kes berasingan, Sum berkata polis menahan dua lelaki dipercayai anggota kumpulan 'Geng Anuar' yang terbabit menyamun seorang lelaki warga emas di sini, pada 27 Sept lepas.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang berumur lingkungan 41 tahun itu ditahan di sekitar Ipoh tiga hari selepas insiden samun berkenaan.

Menurut Sum, pada hari kejadian mangsa yang merupakan seorang pengumpul barangan berjenama berjumpa dengan sekumpulan empat lelaki di hadapan sebuah pusat karaoke di Station 18, di sini bagi urusan jual beli jam tangan.

“Mangsa diminta menaiki kereta Proton suspek untuk melihat jam berkenaan. Bagaimanapun, sebaik menaiki kenderaan mangsa diikat dan dipukul sebelum diturunkan di Jalan Sungai Siput Selatan.

“Mangsa mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM63,000 selepas tiga utas jam tangan jenama Omega, telefon bimbit, beg jenama Louis Vuitton, tiga cincin dan wang tunai disamun kumpulan itu,” katanya.

Sum berkata pihaknya sedang mengesan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes itu dan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka agar menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Beliau berkata dua individu itu dikenali sebagai Qhyirull Anwar Ayub, 29, dari Jelapang Tambahan, Ipoh dan Mohamad Fauzi Adris, 23,  dari  Kepala Batas, Pulau Pinang.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS