Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN LELAKI BERSAMA 125.8 GRAM DADAH BERNILAI RM6,500 DI PENDANG

POLIS TAHAN LELAKI BERSAMA 125.8 GRAM DADAH BERNILAI RM6,500 DI PENDANG

PENDANG, 9 Dis (Bernama) – Polis menahan seorang lelaki bersama 125.8 gram dadah bernilai RM6,500 di dalam sebuah kereta jenis Honda Accord di hadapan sebuah rumah di Kampung Titi Kera di Tobiar dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada 6.30 petang selepas polis menjumpai 103 gram dadah disyaki syabu dan 22.80 gram dadah dipercayai erimin 5 ketika membuat pemeriksaan lanjut di dalam kereta dipandu suspek itu.

Beliau berkata pemeriksaan  lanjut di dalam kereta itu membawa kepada penemuan sebuah beg hitam berzip biru di atas lantai tempat pemijak kaki bahagian pemandu kereta tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg hitam itu menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi  hablur jernih disyaki syabu seberat 103 gram, lapan papan foil warna merah yang setiap satu berisi 10 biji pil disyaki erimin 5 seberat kira-kira 22.80 gram, satu alat penimbang digital, sebilah gunting besi dan sepaket plastik lutsinar yang berisi paket-paket kosong plastik lutsinar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Fadzil berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,121.

​​​​​​​​​​​​​​Beliau berkata suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah itu di Pulau Pinang untuk diedarkan di kawasan sekitar daerah ini dan dia disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu.

“Saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Fadzil berkata lelaki itu direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS