Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN LELAKI DAN WANITA BANTU KES CURI PATUNG BUDDHA

POLIS TAHAN LELAKI DAN WANITA BANTU KES CURI PATUNG BUDDHA

GEORGE TOWN, 22 Dis (Bernama) -- Polis hari ini menahan seorang wanita dan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes curi sebuah patung Buddha bernilai RM10,000 di dalam dewan sembahyang sebuah pertubuhan Buddha di Jalan Anson, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata wanita berusia 29 tahun dan lelaki berumur 36 tahun itu ditahan berasingan di George Town di sini.

"Polis menahan suspek wanita itu kira-kira 9 pagi sebelum menahan rakannya (suspek lelaki) pada 1 tengah hari. Polis percaya penahanan mereka dapat menyelesaikan kes berkenaan.

"Polis juga menjumpai semula patung ‘Sleeping Buddha’ itu pada lelaki tersebut yang merupakan penjual barang antik," katanya.

Beliau berkata wanita yang tidak bekerja itu dan lelaki berkenaan akan direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pada Rabu, setiausaha pertubuhan berkenaan menyedari patung diperbuat daripada marmar putih itu hilang selepas dimaklumkan oleh kerani dewan kira-kira 10 pagi.

Mereka membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan pemeriksaan awal kamera litar tertutup (CCTV) dewan itu mendapati patung Buddha berkenaan dicuri kira-kira 8 pagi, 11 Dis lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menahan dua anggota geng curi motosikal dan merampas sebuah motosikal Honda Ex5 serta pelbagai komponen kenderaan berkenaan dalam serbuan di Kampung Tok Konan, Bukit Mertajam.

Lelaki berusia 33 dan 40 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 7.30 petang semalam hasil risikan dan intipan sejak seminggu lepas.

"Modus operandi mereka ialah mencuri motosikal di pusat beli-belah sebelum menjualnya dengan harga murah atau meleraikan komponennya dan dijual kepada mat rempit," katanya.

-- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS