Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN LELAKI TERLIBAT KEGIATAN PECAH RUMAH

POLIS TAHAN LELAKI TERLIBAT KEGIATAN PECAH RUMAH

BUKIT MERTAJAM, 22 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki kerana terlibat dengan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Selamat, Alma di sini semalam.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menahan lelaki berusia 36 tahun itu di rumahnya kira-kira 12.10 tengah malam tadi.

"Berdasarkan siasatan, lelaki yang tidak bekerja itu terlibat dalam kegiatan pecah rumah sejak beberapa bulan lepas dan terbaru di sebuah rumah di Taman Nirwana di sini, pada Sabtu lepas.

"Dalam kejadian itu, suspek memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang sebelum mencuri wang tunai, komputer riba, barangan kemas dan kamera litar tertutup (CCTV) bernilai lebih RM5,000," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi lelaki itu adalah dengan memantau rumah yang ingin dipecah masuk terlebih dahulu sebelum menjalankan kegiatan berkenaan ketika pemiliknya tiada di rumah.

Nik Ros Azhan berkata lelaki yang mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di daerah SPT.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan lelaki yang tidak bekerja itu turut terlibat kegiatan jenayah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan dia kini direman untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan lima lelaki termasuk seorang remaja yang sedang menghisap dadah dalam serbuan di belakang sebuah gerai di Jalan Machang Bubok di sini semalam.

Katanya dalam serbuan 8.45 malam itu, sepasukan polis yang sedang menjalankan Ops Cegah Jenayah terserempak lima lelaki berusia 19 hingga 36 tahun sedang berkumpul di belakang gerai berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik mereka menyedari kehadiran polis, lima lelaki itu cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menahan kesemua suspek yang mempunyai dua hingga tiga rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah," katanya.

Beliau berkata polis turut merampas dadah jenis heroin dan kesemua mereka yang positif dadah itu direman untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS