Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN 389 INDIVIDU TERLIBAT DAESH

Kuala Lumpur, 25 Mac 2018 - Seramai 389 individu yang disyaki terlibat dengan elemen Daesh ditahan sejak 2013.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata jumlah berkenaan merupakan hasil pemantauan rapi serta risikan keselamatan yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata jumlah 389 individu berkenaan termasuklah kes terbaru melibatkan enam rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina yang ditahan dalam operasi yang dijalankan pada 27 Feb dan 15 Mac lepas.

“Suspek rakyat Malaysia itu ditahan disyaki merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam dan menculik serta membunuh anggota polis.

“Suspek warga Filipina pula merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana terlibat dalam kes ‘Penculikan untuk Tebusan’ serta beberapa cubaan bunuh,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-211 Tahun 2018 di Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata Polis telah berjaya mengekalkan kecemerlangan pasukan dengan penurunan jenayah indeks sebanyak 13,186 kes atau 11.7 peratus pada tahun lepas, berbanding tahun sebelumnya.

“Jenayah kekerasan menurun sebanyak 960 kes atau 4.3 peratus dan jenayah harta benda menurun sebanyak 12,226 kes atau 13.6 peratus.

“Berlandaskan nilai ambang yang ditetapkan bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas, jenayah indeks menunjukkan pengurangan sebanyak 9.7 peratus manakala jenayah kekerasan berkurangan sebanyak 16.2 peratus dan jenayah harta benda menurun sebanyak 7.9 peratus,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata walaupun jenayah indeks menurun tetapi fenomena ‘takut akan jenayah’ masih membelenggu masyarakat, dan Polis akan melipatgandakan lagi program komuniti bersama masyarakat.

Mengenai persiapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) , Mohamad Fuzi berkata segala persiapan bagi memantapkan jentera pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diatur secara strategik sejak tahun lepas dan kini berada pada tahap tertinggi.

“Ini termasuklah inisiatif Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman yang menjalankan latihan simulasi Ex-Undi Per-PRU14 di seluruh negara kontinjen polis,” katanya.

Sementara itu, mengenai keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone), Mohamad Fuzi berkata tahap kawalan keselamatan ESSzone berada pada tahap maksimum dan ancaman penculikan kumpulan Abu Sayaf serta kumpulan menculik untuk wang tebusan (KFR) dikesan masih aktif.

“Alhamdulillah, tiada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penculikan di perairan ESSzone sepanjang tahun lepas,” katanya. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS