Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

DUA CETI HARAM DITAHAN, UGUT MANGSA DI FACEBOOK

Kuantan, 27 Mac 2018 - Tindakan dua lelaki yang dipercayai ceti haram atau along menggunakan laman sosial Facebook untuk mengugut dan memalukan seorang peminjam yang gagal menjelas hutang membawa padah apabila ditahan polis di sini, semalam.

Suspek masing-masing berusia 20 dan 29 tahun ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, selepas menyebarkan gambar kad pengenalan dan gambar anak-anak mangsa dalam Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, berdasarkan fakta kes, mangsa seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun membuat pinjaman dengan along berkenaan sebanyak RM45,000 pada tahun lalu.

"Perjanjian bayaran hutang berkenaan adalah sebanyak RM670 sehari. Pada Disember lalu, mangsa berjumpa dengan along berkenaan dan menerima wang sebanyak RM45,000," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas memperoleh wang berkenaan, mangsa mendakwa sentiasa membuat bayaran pinjaman seperti mana yang dijanjikan.

"Namun pada Ahad lalu, mangsa menerima mesej daripada rakan yang menyatakan gambar kad pengenalannya ditularkan di dalam Facebook yang bernama Genie Rain," katanya.

Mohd Wazir berkata, malah gambar yang ditularkan itu turut diletakkan dakwaan yang mangsa tidak membayar hutang.

"Selain itu, suspek juga mengugut hendak mengapa-apakan mangsa sekiranya gagal membuat pembayaran.

"Mangsa juga tidak berpuas hati dengan tindakan along berkenaan yang juga menularkan gambar anak-anaknya di dalam Facebook," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan semalam, kerana bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini kepada keluarganya di kemudian hari.

"Suspek kini di tahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau boleh dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS