Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TAHAN SUSPEK KURANG 24 JAM SELEPAS MELOLOSKAN DIRI

Kota Bharu, 28 Mac 2018 – Hasil kecekapan polis Kelantan, seorang tahanan lelaki yang meloloskan diri dari kenderaan polis ketika dalam perjalanan untuk dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah semalam, berjaya dijejak dan ditangkap kurang dari tempoh 24 jam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata lelaki berusia 28 tahun itu yang melarikan diri pukul 5.25 petang semalam di Jalan Kubur, Tanah Merah, ditahan semula di Taman Muhibbah Jaya, Tanah Merah pukul 7 pagi hari ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan polis yang berusaha bertungkus-lumus mengesan suspek yang meloloskan diri sehingga berjaya menangkap semula dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.25 petang itu, lelaki berkenaan bersama empat tahanan lain menaiki sebuah van polis dari Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah bagi tujuan perbicaraan di sebuah mahkamah di Tanah Merah yang dijadualkan hari ini.

"Apabila sampai di Jalan Kubur (Tanah Merah), van tersebut bergerak perlahan kerana terdapat sebuah kereta Perodua Kancil di hadapannya yang berhenti untuk mengambil penumpang, Semasa pemandu van memotong kereta Perodua Kancil tersebut, anggota polis pengiring diberitahu oleh tahanan lain bahawa lelaki terbabit telah melarikan diri selepas membuka rantai gari,” katanya.

Hasanuddin berkata hasil maklumat orang awam, suspek berjaya ditahan di tepi garaj kereta di hadapan sebuah rumah di Taman Muhibbah Jaya dengan jarak kira-kira 1.5 kilometer dari tempat suspek meloloskan diri.

Beliau berkata suspek mempunyai 17 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, pecah rumah dan mencuri kenderaan.

Katanya pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes suspek itu meloloskan diri termasuk terhadap dua anggota polis pengiring tersebut.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS