Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

KUMPULAN SAMUN PENGUNJUNG TAMAN TASIK SHAH ALAM TUMPAS

Shah Alam, 23 Ogos 2018 – Polis menumpaskan sebuah kumpulan yang giat menyamun pengunjung Taman Tasik Seksyen 14 di sini, dengan penahanan tiga lelaki tempatan pada Selasa lepas (14 Ogos).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharuddin Mat Taib berkata dengan tertangkapnya tiga individu terbabit, pihaknya percaya dapat menyelesaikan kira-kira lapan kes samun membabitkan pengunjung tasik itu yang menjadi tumpuan warga bandaraya ini untuk beriadah.

“Kumpulan ini menyasarkan pengunjung menaiki motosikal yang meninggalkan barangan berharga mereka di bawah tempat duduk motosikal, mereka akan mengumpil kunci tempat duduk motosikal yang telah dikenalpasti dan melarikan barangan yang disimpan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan yang dipercayai bergiat aktif sejak setahun lepas, berjaya ditumpaskan selepas polis yang melakukan pemantauan di tasik itu menahan dua individu menaiki dua motosikal yang dipercayai telah mengumpil sebuah motosikal yang diletakkan di tasik berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek telah membawa pihakpolis ke dua buah rumah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur dan di Seksyen 16 di sini, di mana seorang lagi suspek ditahan.

“Di rumah-rumah berkenaan polis menemui sejumlah beg duit, telefon bimbit, jam tangan dan beg galas dipercayai hasil samun yang dianggarkan bernilai kira-kira RM35,000. Polis turut bertindak merampas dua motosikal yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

“Dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau antaranya mencuri kereta dan memiliki harta curi. Ketiga-tiga lelaki berumur 26 tahun hingga 30 tahun itu direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kami akan memohon untuk mereka diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya.

Menurut Baharuddin, dari Januari sehingga semalam, pihaknya menerima 40 laporan polis berkaitan kecurian barangan yang disimpan di dalam motor dan kereta oleh pengunjung taman tasik berkenaan.

Sehubungan itu, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas untuk mengawasi kawasan rekreasi di sekitar bandaraya ini.

“Menerusi siasatan awal, dipercayai terdapat beberapa kumpulan aktif melakukan akitiviti jenayah di kawasan rekreasi dan kami sedang lakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti anggota kumpulan berkenaan,” katanya.

Baharuddin dalam pada itu, turut menasihati pengunjung untuk lebih berhati-hati dan tidak membawa barangan berharga ketika pergi ke kawasan rekreasi.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS