Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

SELISIH FAHAM SOAL GAJI PUNCA PENGAWAL KESELAMATAN DITEMBAK MATI

Ipoh, 3 September 2018 - Perselisihan faham dan tidak berpuas hati soal perbezaan gaji menjadi punca seorang pengawal keselamatan menembak mati rakan setugasnya dalam kejadian di pos pengawal keselamatan di sebuah kilang di Taman Farmaseutikal Seri Iskandar, Jumaat lalu.

Motif kejadian tersebut terbongkar setelah suspek berusia 52 tahun ditangkap di sebuah rumah di Kampung Paloh, Telok Bakong Lambor Kanan di Bota pada jam 7.30 malam, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, pihaknya sebelum itu telah menyerbu rumah suspek namun lelaki itu tiada di rumah dan hanya menemukan sepucuk pistol tiruan besi berwarna kelabu jenama Pietro Beretta Gardone V. T buatan Itali.

Katanya, turut ditemukan di dalam kediaman berkenaan ialah kelopak peluru kosong beserta satu sarung pistol berwarna hitam dan dua kotak plastik lutsinar berisi 100 biji bebola besi yang dijumpai di atas katil.

“Hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan, suspek akhirnya berjaya ditangkap di lokasi sama keesokan harinya dan pihak polis merampas sepucuk pistol jenis Walther PPK, satu kelopak berisi 49 butir peluru dan satu balutan plastik mengandungi peluru.

“Siasatan lanjut yang dijalankan terhadap suspek yang tinggal seorang diri itu mengaku telah menembak rakan setugasnya yang sama-sama bertugas dari jam 3 petang hingga 11 malam, 31 Ogos lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah.

Dalam kejadian pada jam 8 malam itu, seorang pengawal keselamatan Orang Asli daripada suku Semai, Masri Pandak, 37, berasal dari Tronoh maut ditembak rakan sekerjanya di balai pengawal di sebuah kilang ubat di Taman Farmasi di Seri Iskandar.

Mangsa yang dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kesan tembakan di dada kiri dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol dari jarak dekat berhampiran balai pengawal berkenaan. - UTUSAN ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS