Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

REMAJA PUKUL BAPA OKU DITAHAN

Bukit Mertajam, 16 September 2018 - Polis menahan seorang remaja lelaki kerana memukul bapanya menggunakan kayu hoki sehingga cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Permatang Pauh di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian pukul 11.15 malam itu, remaja lelaki berusia 19 tahun itu mengamuk sebelum memukul bapanya yang berumur 54 tahun menggunakan kayu hoki kerana dihalang mengambil televisyen.

"Mangsa yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal itu mengalami kecederaan luka di kepala, bahu kiri serta belakang badan dan sakit dada dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika suspek pulang ke rumah ayahnya untuk mengambil televisyen di situ namun dihalang oleh mangsa kerana ia miliknya.

Katanya dua beranak itu tinggal bersama di rumah berkenaan namun anaknya telah berpindah keluar baru-baru ini selepas dia berkahwin.

"Dia pulang ke rumah untuk mengambil televisyen itu namun dihalang oleh bapanya kerana ia milik mangsa, pada mulanya berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum ia berlarutan.

Suspek yang berang telah bertindak mengamuk sebelum mengambil kayu hoki dan memukul kepala serta badan bapanya berulang kali," katanya.

ACP Nik Ros Azhan berkata tindakan pemuda memukul ayahnya itu kemudian berjaya dihentikan selepas anak sulung mangsa yang baru habis kerja pulang ke rumah dan menghubungi pihak ambulans selepas mendapati kepala bapanya berdarah.

Katanya anak sulung mangsa itu turut membuat laporan polis sebelum polisberjaya menahan adiknya di rumah mereka selepas kejadian berkenaan.

"Polis turut merampas kayu hoki yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan dia kini direman lima hari bagi membantu siasatan. Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS