Alor Setar, 3 Oktober 2018 - Cubaan lima lelaki membawa enam bungkusan dadah jenis ganja seberat 252.16 kilogram (kg) bernilai RM630,250 dengan kereta gagal, selepas mereka terserempak dengan polis yang sedang membuat rondaan di kawasan Kedondong, Pokok Sena, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, anggota unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang meronda di kawasan terbabit terserempak kereta Proton Waja dinaiki empat lelaki dan kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat Bukit Pinang dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, anggota poliskemudian mengarahkan kedua-dua kereta terbabit berhenti untuk pemeriksaan, namun pemandu kereta Toyota Vios memecut kenderaannya, sementara empat lagi lelaki berusia 20 hingga 42 tahun yang berada di dalam kereta Proton Waja dapat ditahan.
“Anggota polis terbabit kemudian meminta bantuan anggota MPV lain untuk mengejar kereta terbabit sebelum dia terbabas di tepi jalan Pokok Sena-Kubur Panjang dan pemandunya melarikan diri.
“Pemeriksaan di dalam kereta itu menemui empat bungkusan di tempat duduk belakang dan dua bungkusan di dalam bonet kereta mengandungi dadah ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kedah di sini, hari ini.
Abd Rahim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 248 ketulan mampat ganja seberat 252.16 kg ditemui dalam bungkusan itu.
“Siasatan mendapati empat lelaki yang ditahan itu ada yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, petani, pemandu traktor dan buruh.
“Dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu pembantu kedai makan berusia 31 tahun memiliki 14 rekod jenayah dan dua rekod jenayah narkotik.
“Sementara pekerja buruh berusia 41 tahun itu pula memiliki dua rekod jenayah narkotik,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang melarikan diri itu sudah dikenal pasti dan berusia 30-an kini sedang diburu bagi membantu siasatan.
“Mereka yang ditahan itu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sumber - BERITA HARIAN ONLINE (https://www.bharian.com.my/…/10/481…/ganja-rm630250-dirampas)