Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS PAHANG TAHAN 11,560 ORANG BERKAITAN DADAH BAGI JAN-OKT

Kuantan, 5 November 2018 - Sebanyak 11,560 orang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah di Pahang dalam tempoh Januari hingga akhir Oktober tahun ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Lam Thiam Huat.

Beliau berkata jumlah itu meningkat daripada 11,296 orang bagi tempoh sama pada tahun lepas dengan heroin merupakan dadah paling banyak terlibat diikuti syabu, pil kuda dan ganja.

"Kebanyakan dadah yang terlibat diperoleh dari luar Pahang sama ada dari Lembah Klang atau selatan Pahang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Lam menambah sebanyak 70 peratus daripada 11,560 orang itu telah didakwa di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan atau menunggu laporan kimia.

Beliau berkata di Pahang, permasalahan berkaitan dadah kebanyakannya tertumpu di kawasan Felda atau di pesisiran pantai.

Dalam pada itu, Lam berkata polis menahan 10 orang termasuk seorang wanita berusia 31 tahun bagi kesalahan mengedar dadah dalam operasi selama tiga hari bermula 31 Okt lepas di ​​​​​​​Felda Jengka 5 di Maran, Muadzam Shah di Rompin, Sungai Koyan di Lipis dan Cherating serta Kuantan.

"Polis merampas 269.84 gram heroin, 33.49 gram syabu dan 1,061 pil kuda yang semuanya dianggarkan bernilai RM29,739 dan wang tunai RM900 dalam operasi itu," katanya.

Beliau berkata semua suspek yang berusia antara 31 hingga 44 tahun itu kini direman sehingga Khamis ini, untuk membantu siasaran di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS