Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

LELAKI BANGLADESH MAKI, UGUT POLIS DITAHAN

Kuala Lumpur, 7 November 2018 - Seorang lelaki Bangladesh ditahan selepas memberi amaran serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada polisyang cuba melakukan pemeriksaan ke atasnya.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang semalam, lelaki terbabit ditahan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal di Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Arifai Tarawe, berkata ketika ditahan untuk pemeriksaan, lelaki berusia 30 tahun itu gagal mengemukakan dokumen dirinya serta lesen memandu.

“Dia (suspek) sebaliknya mengeluarkan kata-kata kesat serta menyatakan bahawa pihak polis tiada hak untuk melakukan pemeriksaan ke atas dirinya.

“Malah dia juga mengugut anggota polis untuk saman dan menahan dirinya atas alasan kononnya semua warga asing diberikan kebebasan daripada diperiksa oleh polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arifai berkata, lelaki itu kemudian ditahan dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Lokap Berpusat Polis Kuala Lumpur di Jinjang untuk tahanan reman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang tugas polis melakukan pemeriksaan serta Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1953 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya.

Katanya, mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan boleh ditahan untuk pemeriksaan susulan termasuk warga asing sebelum sesuatu tindakan susulan diambil.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada mana-mana warga asing untuk tidak menggunakan alasan kononnya mereka mempunyai imuniti daripada ditahan polis apabila dikesan melakukan kesalahan.

 
 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS