Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

POLIS TUMPASKAN GENG CURI KERETA MEWAH

Batu Pahat, 9 November 2018 - Hanya menggunakan sebuah peranti, satu kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng Yon Kuang’ mampu melarikan sesebuah kereta mewah dalam masa tiga minit sahaja.

Itulah jawapan kepada ‘misteri’ kehilangan beberapa kereta mewah di daerah ini dan sekitarnya sejak awal tahun termasuklah kenderaan yang diletakkan di dalam kawasan rumah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata bagaimanapun, kumpulan ini tumpas dalam beberapa siri tangkapan bermula 21 Okt lalu hingga semalam dengan tujuh suspek berjaya ditahan membabitkan lima lelaki dan dua wanita berumur 24 hingga 38 tahun.

Beliau berkata melalui penahanan itu pihaknya turut merampas lima kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Toyota Fortuner, Honda HR-V, Honda CR-V dan Honda Accord yang dianggar bernilai sekitar RM800,000.

"Selain alat peranti yang digunakan untuk menggodam kenderaan mewah, turut ditemui semasa tangkapan ialah ‘immobilizer’, alat kawalan kenderaan, drill, sarung tangan, papan nombor plat dan nombor plat kenderaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Beliau berkata turut dirampas, pencetak, beberapa keping cukai jalan dipercayai palsu serta beberapa pemutar skru dan pisau.

Azhan berkata buat masa ini kumpulan tersebut disyaki turut terlibat dalam kes curi kenderaan mewah di Petaling Jaya, Selangor, namun, siasatan lanjut sedang dilakukan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

"Kereta mewah ini dipercayai dijual dengan harga jauh lebih murah iaitu sekitar 10 peratus daripada harga asal.

"Daripada kejadian ini, pihak polis menasihati pemilik kenderaan terutamanya kenderaan mewah yang menggunakan ‘push start’ untuk menghidupkan kenderaan supaya dapat memasang kunci tambahan pada kenderaan masing-masing,” katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS