Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

#WarAgainstDrugs ARTIKEL PILIHAN: POLIS MELAKA RAMPAS 54 KG SYABU BERNILAI LEBIH RM2 JUTA

Melaka, 25 Januari 2021 - Polis Melaka menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah dipercayai Syabu seberat 54.52 kilogram (kg) bernilai RM2.08 juta, menerusi empat serbuan berasingan di sekitar daerah Melaka Tengah, Khamis lepas.

Ketua Polis Melaka, DCP Dato’ Abdul Majid Mohd Ali berkata, enam lelaki termasuk dua warga Indonesia berumur 32 hingga 49 tahun, yang dipercayai aktif dengan kegiatan jenayah itu sejak dua bulan lepas, turut ditahan.

Beliau berkata kegiatan itu dikesan kira-kira pukul 9.15 malam, apabila anggota peronda ternampak seorang suspek sedang memindahkan barang dari but kereta jenis Mercedes-Benz ke dalam kereta jenis Volkswagen Passat dipandu suspek, di deretan kedai di Taman Pantai Emas, Batang Tiga.

“Ketika anggota peronda ke lokasi berkenaan, suspek dilihat terburu-buru sebelum memecut kereta, kemudian pihak peronda mengejarnya namun gagal dan berpatah balik untuk membuat pemeriksaan ke atas Mercedes-Benz terbabit.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan dua guni yang mengandungi 24 paket plastik dan satu beg berzip mengandungi tujuh paket plastik disyaki Syabu, dengan jumlah berat keseluruhan 33.04 kg bernilai RM1.24 juta,” katanya.

Dato’ Abdul Majid berkata, berdasarkan penemuan dadah terbabit dan hasil siasatan lanjut, polis berjaya menjejaki dan menahan suspek pertama di sebuah pangsapuri di Klebang, serta merampas dadah dipercayai Syabu seberat 21.38 kg bernilai RM840,000.

Katanya susulan itu, ia membawa kepada tiga lagi tangkapan iaitu seorang suspek ditahan di sebuah kondominium di Klebang, dua di sebuah hotel di Ujong Pasir dan dua warga Indonesia di kondominium di Cheng.

“Empat suspek tempatan merupakan penganggur dan mereka mempunyai rekod jenayah lampau, manakala dua warga asing berasal dari Pulau Rupat dan bekerja sebagai nelayan. Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati kesemuanya positif dadah jenis Methamphetamine.

“Polis turut merampas sebuah bot nelayan tidak bernombor pendaftaran, dua motosikal dan empat kereta bernilai RM179,000, yang disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya.

Bacaan lanjut di pautan seperti berikut, https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1925452
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS