Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

SISI DIMENSI DI SEBALIK SERAGAM : JURULATIH SKUBA KEBANGGAAN PDRM

Sub Inspektor Mohd Dalila Haji Mansor

1. Boleh ceritakan latar belakang diri dan keluarga SI?
Assalamualaikum. Nama saya Sub Inspektor Mohd Dalila Haji Mansor, bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis di Balai Polis Cheras, Kuala Lumpur. Saya dilahirkan pada 1 Oktober 1967 di Kampung Sungai Raya, Jelebu, Negeri Sembilan. Hasil perkahwinan, saya telah dikurniakan dua orang anak iaitu Nuramalina Mohd Dalila dan Muhammad Nur Amir Mohd Dalila.

2. Kenapa SI memilih bidang kepolisan sebagai kerjaya?
Saya meminati bidang kepolisan sejak alam persekolahan lagi. Selain ingin mencurahkan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara, saya juga ingin membantu menyara kehidupan keluarga di kampung. Sepanjang perkhidmatan, saya pernah bertugas di Sekolah Latihan Pasukan Gerakan Am (SLPGA) selama dua tahun, Unit 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas (22 tahun), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (6 bulan), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (9 tahun) dan kini di Balai Polis Cheras, Kuala Lumpur.

3. Bagaimana SI mula menceburi aktiviti menyelam skuba?
Saya mula menceburi aktiviti menyelam skuba ketika berusia 20 tahun semasa bertugas di Unit 69 Komando. Pada awalnya, tiada Unit Selam Tempur diwujudkan dalam unit tersebut. Oleh itu, saya bersama lima anggota lain mengambil inisiatif untuk mempelajari teknik menyelam yang betul di Sea Venture Dive Centre, Ipoh, Perak dengan menggunakan wang saku kami sendiri.
Alhamdulillah, berkat kesabaran dalam menuntut ilmu dan mengikut arahan yang diberikan, kami berjaya menamatkan pembelajaran sehingga ke tahap tenaga pengajar. Dengan kelayakan dan pengiktirafan yang ada pada kami ketika itu, maka tertubuhnya Unit Selam Tempur dalam 69 Komando pada tahun 1990.
Kami bertanggungjawab mengajar pegawai dan anggota polis mengenai selok belok teknik penyelaman yang betul.

4. Siapakah yang memberi sokongan dan dorongan kepada SI untuk lebih serius dalam aktiviti menyelam skuba? Rakan-rakan di dalam Pasukan yang banyak memberi sokongan dan dorongan selepas mereka nampak bakat yang ada pada saya boleh diasah dan pergi lebih jauh lagi dalam bidang ini.

5. Ceritakan antara pencapaian anda dalam aktiviti ini?
Saya telah menghasilkan sebuah buku bertajuk “Penyelaman Perairan 20 Meter” pada tahun 2015 bagi berkongsi pengalaman dan sebagai panduan kepada sesiapa yang berminat dalam mendalami aktiviti selam. Selain itu, pada tahun 2012, saya telah mendapat pengiktirafan sebagai seorang jurulatih pengajar oleh Rebreather Association of International Divers (RAID) dan menjadi anak Melayu pertama yang mendapat pengiktirafan tersebut di peringkat antarabangsa. Selain menjadi Instructor Examiner dalam Polis Diraja Malaysia dan di peringkat kebangsaan, saya turut diiktiraf oleh RAID sebagai pemeriksa tenaga pengajar yang ke-9 bagi peringkat antarabangsa dan yang pertama di Asia. Sehingga kini, saya dipertanggungjawabkan oleh RAID yang berpangkalan di Sweden untuk mengiktiraf dan memberi sijil kepada para pelajar yang berjaya menamatkan pembelajaran dengan sempurna.

6. Apakah antara cabaran yang perlu anda hadapi sepanjang terlibat dalam aktiviti ini?
Saya perlu sentiasa fokus dan mempunyai tahap kesihatan fizikal dan mental yang tinggi semasa mengajar. Selain itu, saya juga perlu memastikan keselamatan para pelajar adalah pada tahap tertinggi terutama ketika melakukan aktiviti di kawasan laut terbuka.
Saya juga akan sentiasa membuat rujukan dan membaca bahan bacaan yang berkaitan bagi memantapkan lagi ilmu dalam dunia penyelaman ini.

7. Siapakah yang menjadi idola anda dalam aktiviti skuba ini?
Idola saya adalah Mr. James Costello dan Pengarah RAID, Mr. Simon Hemmings.
Mereka merupakan antara individu yang terbaik di peringkat antarabangsa dan sangat mahir dalam apa juga berkaitan dunia penyelaman.

8. Selain anda, siapakah ahli keluarga yang turut sama dalam aktiviti ini?
Anak lelaki saya iaitu Muhammad Nur Amir Mohd Dalila yang merupakan pengajar di RAID.

9. Apakah kata-kata semangat yang menjadi kekuatan setiap kali anda melakukan aktiviti tersebut?
Tiada apa yang tidak boleh dicapai sekiranya kita mempunyai usaha dan minat yang mendalam bagi sesuatu perkara.

10. Nasihat anda kepada anak muda supaya turut menceburi sukan lasak tersebut.
Pastikan anda mempunyai minat yang tinggi dan sentiasa fokus dalam apa jua aktiviti yang ingin dilakukan.

“EXPLORER MEDITATION WORLD OF DIVING”
(MOHD DALILA HAJI MANSOR) P.P.N.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS