Johor Bahru, 4 Ogos 2021 - Polis menyerbu tempat pemprosesan arak tiruan membabitkan jumlah rampasan arak dan cukai bernilai RM3.01 juta di sebuah kediaman di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Johor, CP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan itu turut membawa kepada penahanan enam lelaki, termasuk empat warga Myanmar disyaki terbabit dalam penyeludupan arak tiruan dan tidak bercukai.
Katanya, bertindak atas maklumat Op Kontraban, sepasukan polis daripada Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara melakukan serbuan pada jam 8.10 pagi.
"Semua yang ditahan berusia antara 27 hingga 41 tahun itu dipercayai pekerja bawahan dalam premis berkenaan.
"Hasil siasatan awal, kegiatan ini beroperasi sejak lima bulan lalu, selain ia bagi pasaran tempatan.
"Pemeriksaan mendapati arak tiruan pelbagai jenama yang dihasilkan itu menggunakan pelekat kastam disyaki palsu yang dibuat sendiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar terbitan Berita Harian.