Johor Bahru, 5 November 2021 - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menggagalkan cubaan sindiket penyeludupan tayar bernilai RM697,759 menerusi intipan di kawasan keluar masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini.
Ketua Polis Johor, CP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada serbuan pertama, pasukan polis dari Unit Risik Marin, PPM Wilayah Dua menahan seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun selepas mengekorinya yang juga pemandu sebuah treler.
Katanya, lelaki berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan keluar dari CIQ Bangunan Sultan Iskandar, sebelum ditahan di Plaza Tol Kempas, kira-kira jam 5.35 petang, 28 Oktober lalu.
"Susulan serbuan pertama, sepasukan anggota polis daripada Cawangan Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menahan seorang lelaki tempatan di Taman Sri Skudai, di sini, kira-kira jam 6.05 petang, 29 Oktober lalu.
"Hasil siasatan mendapati lelaki berusia 28 tahun adalah majikan kepada suspek tangkapan pertama, selain individu ini juga menguruskan segala urusan membawa tayar tidak bercukai masuk ke Malaysia dari Singapura.
"Sindiket itu beroperasi kira-kira enam hingga tujuh bulan lalu, selain kita (polis) juga sedang berkolaborasi dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk melihat dan mengesan dari awal mana-mana aktiviti penyeludupan menggunakan pintu masuk yang sah.
"Hasil soal siasat awal, pemandu lori ini apabila diisytiharkan masuk Singapura adalah kosong (tiada barang), apabila keluar pun diisytiharkan kosong. Dia mempunyai kad akses yang membolehkan dia melalui lorong khas," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua di sini, semalam.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan
Harian Metro seperti di lampiran.