Kuala Lumpur, 29 Ogos 2024 - Polis menumpaskan sindiket pembuatan wang palsu didalangi warga Cameroon dengan tertangkapnya tiga suspek dalam serbuan di sebuah kondominium Bandar Tun Razak, dekat sini, pada 15 Ogos lalu.
Selain tangkapan tiga lelaki warga Cameroon berusia antara 36 hingga 49 tahun itu, polis turut merampas 4,779 keping wang kertas dipercayai palsu dan 152 keping wang kertas
AS$100 yang turut disyaki palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam serbuan sama pihaknya turut merampas sembilan blok wang RM100 dipercayai palsu, tujuh telefon bimbit, satu kunci rumah bersama kad akses, dua beg galas, satu beg bimbit, tiga gulung plastik pembalut, pisau pemotong kertas, empat pasport dan sebuah kereta jenis Toyota Vios.
“Siasatan mendapati, seorang daripada suspek memasuki negara ini pada 28 Julai lalu menggunakan pas lawatan sosial, namun dua lagi tidak mempunyai rekod perjalanan sah.
“Kita percaya sindiket itu memulakan kegiatan penghasilan wang palsu sejak Julai lalu untuk dijual dan polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pihak yang mempunyai kaitan dengan kegiatan itu,” katanya.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.