Kuala Lumpur, 18 Mac 2026 - Sindiket yang menyasarkan kenderaan “total loss” selain hasil kegiatan curi untuk dijual semula sebagai kenderaan klon dengan geran lengkap dibongkar Polis Diraja Malaysia baru-baru ini.
Tindakan itu dilaksanakan Bahagian D4
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Lejang Mewah Klon di seluruh negara pada 12 hingga 15 Mac lalu.
Pengarah JSJ, CP Dato' M. Kumar S. Muthuvelu berkata, operasi hasil risikan selama lima bulan itu berjaya memberkas 12 individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 33 hingga 60 tahun.
Menurutnya, tangkapan itu dipercayai berperanan sebagai pembeli, orang tengah dan pemilik syarikat kenderaan terpakai.
“Salah seorang suspek mempunyai rekod dikehendaki oleh Polis Singapura (SPF) bagi kes curi kenderaan di negara itu.
“Suspek yang juga pemilik syarikat kereta sewa ini telah diserahkan kepada pihak SPF pada 16 Mac lalu bagi tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.