Scam Alert
.....................................................................................................................................................................................................................................................

[SCAM ALERT] POSTING PILIHAN: POLIS KESAN SINDIKET AH LONG TAWAR PINJAMAN MENERUSI APLIKASI TELEFON BIMBIT

Kuala Lumpur, 9 Julai 2021 - Polis mengesan taktik baharu sindiket pinjaman wang tanpa lesen (ah long) yang menyediakan aplikasi di telefon bimbit untuk membuat pinjaman wang selain menyalahgunakan data peribadi mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Dato’ Mohd. Kamarudin berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada mangsa yang membuat pinjaman melalui aplikasi berkenaan dan menerima pelbagai ugutan termasuk menggunakan gambar serta data peribadi mereka selepas gagal melunaskan bayaran.

Beliau berkata, peminjam yang menggunakan aplikasi itu tidak sedar bahawa mereka telah memberi kebenaran kepada sindiket untuk mengakses maklumat yang ada di dalam telefon bimbit seperti gambar dan nombor telefon individu lain.

“Sindiket ini akan menghubungi keluarga atau rakan-rakan untuk membuat ugutan sekiranya peminjam gagal membuat bayaran.

“Kebanyakan pengguna (peminjam) tidak akan membaca syarat yang dinyatakan (ketika membuat pinjaman) dan hanya memberi persetujuan bagi membolehkan mereka menggunakan aplikasi tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dato’ Mohd Kamarudin berkata, bagi membanteras kegiatan sindiket ah long di seluruh negara, pihaknya melancarkan operasi khas iaitu Ops Vulture pada 2 Julai lepas dan kemudian berjaya melumpuhkan 14 sindiket ah long dalam serbuan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Sabah serta Sarawak.

Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php...

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS