Fakta @ Auta
.....................................................................................................................................................................................................................................................

FAKTA: UNIT PAYUNG TERJUN WANITA PERTAMA PDRM


Sejarah awal Penubuhan Unit Payung Terjun Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada 26 Ogos 1978 apabila seramai 65 anggota termasuk lima pegawai wanita telah dihantar ke Pangkalan Latihan Border Patrol Police Air Support Staff Division, Pacyuabkiriham, Thailand untuk mengikuti latihan asas payung terjun.

Pada 3 Februari 1988 pengambilan dibuka kepada anggota-anggota wanita untuk menjalani latihan bagi melayakkan diri sebagai ahli payung terjun PDRM. 

Seramai tujuh orang termasuk seorang pegawai telah menawarkan untuk menyertai latihan tersebut yang diadakan di Sekolah Latihan Polis Hutan, Ulu Kinta Perak. mereka yang berhati waja adalah Inspektor Ng Guat Choo, Koperal Jamilah Binti Dahalan, Konstabel Harjinder Kaur, Konstabel Hasmawati Binti Mohamed, Konstabel Rohani Binti Koran Khan, Konstabel Zalilah Binti Abu Yahya dan Konstabel Nurmala Binti Rashid.

Mereka menjalani latihan selama enam bulan dengan dikendalikan oleh beberapa jurulatih berpengalaman dari Pasukan Polis Hutan (PPH) 69 Komando yang diketuai Inspektor Mohd. Sahid bin Mohd Noh. 

Latihan yang diberikan adalah bercorak sukan dan bukannya gempur seperti yang diajarkan kepada anggota-anggota PPH 69.

Latihan yang dijalankan bermula dari 3 Februari 1988 hingga 17 Julai 1988. Mereka telah ditauliahkan dengan sayap Penerjunan oleh Dato’ Sri Siti Hasmah Mohd Ali, iaitu isteri Perdana Menteri pada satu majlis di Taman Tasik Bandar Tun Razak Cheras, Kuala Lumpur pada 17 Julai 1988. 

Penerjunan secara rasmi buat pertama kalinya dipertontonkan kepada orang ramai di Ulang Tahun ke-30 Gelaran Diraja kepada PDRM pada 24 Julai 1988 dan kemudiannya mereka membuat lebih daripada 200 aktiviti penerjunan di seluruh Malaysia sempena Persembahan Tatu PDRM.

Gambar dari kiri: Sub Inspektor Rohani Koran Khan, Allahyarhamah Sarjan Nurmala Rashid, Sarjan Asmawati Mohamed, Sarjan Mejar Zalilah Abu Yahya, Sub Inspektor Jamilah Dahlan, Superintenden Ng Guat Choo dan Sarjan Harjinder Kaur.

Sumber Info : Cawangan Muzium PDRM

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS