Fakta @ Auta
.....................................................................................................................................................................................................................................................

FAKTA : BAHANA HUTANG YANG TIDAK BERBAYAR

Kawan tak bayar hutang?

Saudara tak bayar hutang?

Jangan risau, mahkamah adalah penyelesaiannya.

TAHUKAH ANDA HUTANG DI BAWAH RM5,000 YANG TIDAK DIBAYAR BOLEH DISELESAIKAN GUNA KAEDAH UNDANG-UNDANG TANPA PEGUAM?

Jika hutang tersebut adalah kurang daripada jumlah RM5,000 anda masih boleh menggunakan kaedah undang-undang yang ada di Malaysia untuk memaksa mereka yang berhutang melunaskan hutang kita tanpa menggunakan khidmat guaman.

JENIS-JENIS HUTANG YANG BOLEH DITUNTUT ADALAH

1. Hutang-hutang berupa nilai wang.
2. Upah bagi kerja/perkhidmatan yang telah dibuat atau diberi.
3. Kadar sewa yang tidak dijelaskan oleh penyewa kepada pemilik rumah/tanah.
5. Menuntut terhadap barangan yang rosak.
6. Menuntut terhadap perjanjian perkhidmatan/persembahan yang sepatutnya dilaksanakan.

MAHKAMAH BAGI TUNTUTAN KECIL

Mahkamah bagi tuntutan kecil ini diwujudkan bagi membicarakan kes di mana hanya pihak menuntut dan pihak kena tuntut sahaja yang terlibat tanpa menggunakan peguam bagi tujuan mengurangkan kos guaman yang ditanggung oleh pihak-pihak yang terlibat.

Ini membolehkan pihak-pihak terlibat yang mempunyai masalah kewangan bagi melantik peguam, untuk memfailkan dan mengendalikan secara sendiri tuntutan mereka di Mahkamah.

TETAPI jika tuntutan anda melebihi RM5,000 anda perlu melantik peguam untuk proses undang-undang yang seterusnya.

PROSES DAN PROSEDUR MELAKUKAN TUNTUTAN KECIL DI MAHKAMAH

Anda sebagai penuntut hutang akan dikenali sebagai “plaintif”, manakala rakan/saudara anda yang berhutang tadi akan dikenali sebagai “defendan”.

Plaintif boleh mendapatkan Borang 198 yang telah disediakan di Mahkamah atau melalui muat turun borang tersebut dan menyatakan amaun serta butir-butir tuntutan.

Setelah mengisi borang, plaintif mestilah memfailkan borang tersebut dengan kos pemfailan sebanyak RM20.00.

Borang itu akan dimeterai di mahkamah dan juga akan menetapkan tarikh bicara untuk kes yang didaftarkan itu.

Plaintif dikehendaki menghantar borang termetrai tadi kepada Defendan melalui pos pra bayar di pejabat pos atau secara sendiri pun boleh kepada Defendan.

HARI PERBICARAAN DI MAHKAMAH

Perbicaraan akan dikendalikan oleh seorang majistret.

Semasa perbicaraan, plaintif perlu membuktikan kes terhadap defendan.

Ketika hari perbicaraan berlangsung, bawa semua dokumen yang berkenaan untuk menunjukkan bahawa anda telah meminjamkan wang tersebut kepada rakan anda.

Jika tiada dokumen, keterangan lisan juga boleh diterima.

Lampirkan juga sebarang perbualan atau apa-apa yang pernah dipersetujui bersama, bila pinjaman dibuat dan sudah berapa lama ia tidak dibayar semula hutang tersebut.

Selepas selesai keterangan oleh plaintif seterusnya defendan akan memberi keterangan.

Setelah keterangan kedua-dua pihak diteliti, majistret akan membuat keputusan.

Selain daripada penghakiman yang telah dikeluarkan oleh majistret, plaintif juga boleh menuntut kos iaitu perbelanjaan ke mahkamah beserta 'fee' pemfailan borang yang tidak melebihi RM100 daripada defendan.

Sekiranya defendan gagal untuk melakasanakan pembayaran atau apa-apa perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah kepada Plaintif, maka Plaintif boleh memohon kepada Mahkamah supaya defendan membayar secara ansuran, atau hartanya disita/dijual atau memerintahkan defendan untuk dipenjarakan.

Oleh yang demikian, jangan putus asa sekiranya anda mempunyai tuntutan yang kecil, kerana anda masih boleh menegakkan hak anda di Mahkamah Tuntutan Kecil.

Rujukan : Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012

Sumber Info : Tetuan Azlan Shah & Partners

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS