Infografik PDRM
.....................................................................................................................................................................................................................................................

#LegasiPejuangSeragamBiru KOPERAL MOHD. FAKHARUDDIN ZAKARIA

Koperal Mohd. Fakharuddin Zakaria dilahirkan pada 31 Oktober 1982 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau mula berkhidmat dalam Pasukan polis pada 1 April 2004 sebagai Konstabel dan ditempatkan untuk bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor. Selain itu, beliau juga pernah bertugas di Cawangan Tugas Am, Balai Polis Semenyih. Sejak awal perkhidmatan, beliau telah menunjukkan prestasi tugas yang cemerlang.

Pada 9 September 2006, ketika beliau melakukan tugas ronda cegah jenayah bermotosikal bersama Koperal Minhat di Jalan Kampung Baru Cina Semenyih, mereka telah terserempak dengan dua orang lelaki menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan. Koperal Fakharuddin yang pada ketika itu berpangkat Konstabel bertindak mengejar suspek untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Kedua-dua suspek tersebut berjaya ditahan, namun berlaku pergelutan sehingga menyebabkan Koperal Fakharuddin ditikam. Dalam keadaan parah itu, Koperal Fakharuddin menunggang motosikalnya ke Balai Polis Semenyih untuk mendapatkan bantuan. Beliau dikejarkan ke Hospital Kajang namun gagal diselamatkan dan telah disahkan meninggal dunia akibat daripada kecederaan parah tersebut.

Bagi mengenang jasa dan pengorbanan beliau untuk memastikan keselamatan awam terjamin, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani kepada beliau pada pada 2 Jun 2007. Selain itu, Koperal Fakharuddin turut dinaikkan pangkat kepada Koperal secara medan (field promotion).

#PolisDirajaMalaysia
#RoyalMalaysiaPolice
#PDRM
#RMP
#LegasiPejuangSeragamBiru

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS