Infografik PDRM
.....................................................................................................................................................................................................................................................

PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2024 KETUA POLIS NEGARA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Segala puji dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya jua, kita diberikan kesempatan untuk bertemu dengan tahun baharu 2024, selepas kita berjaya mengharungi tahun 2023 yang penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan.
Berkat kerjasama dan komitmen tinggi warga Pasukan, PDRM kekal ampuh meskipun menghadapi badai dan dugaan serta tekanan dari segenap arah.

Tidak dapat dinafikan bahawa keamanan dan ketenteraman awam yang dinikmati oleh masyarakat Malaysia pada hari ini terbentuk hasil daripada permuafakatan antara pelbagai kaum, agama dan budaya.

Pun begitu, kecenderungan segelintir pihak memainkan sentimen 3R (kaum, agama dan Institusi Diraja) dilihat seolah-olah sengaja menimbulkan provokasi yang mencabar kedaulatan negara. Malah, kesan manipulasi isu 3R boleh mengundang persepsi salah tentang sesuatu perkara, sekali gus menimbulkan kegusaran masyarakat dan mewujudkan ketegangan serta perbalahan yang berpanjangan. Justeru, Pasukan Petugas (Task Force) 3R PDRM diwujudkan tepat pada masanya sebagai langkah pencegahan terbaik oleh pihak Kerajaan dan Pasukan.

Dalam setandan pisang, tidak semuanya elok dan begitu jugalah realitinya dalam Pasukan. Di sebalik kejayaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada warga PDRM, terdapat segelintir yang melanggar kod etika, disiplin malah lebih parah lagi terjebak dalam pelanggaran undang-undang negara.

Selaku Ketua Polis Negara, saya akan memastikan segala tindakan sewajarnya diambil kepada mereka yang terlibat. Saya menegaskan bahawa PDRM tidak akan sekali-kali melindungi warganya yang melakukan apa jua kesalahan.

Pada masa yang sama juga, saya menyeru warga Pasukan supaya mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang telah terjadi, untuk kita terus memberikan perkhidmatan yang terbaik. Pasakkanlah tekad dan pahatlah nawaitu untuk bekerja dengan ikhlas demi diri sendiri, keluarga, Pasukan dan negara.
Sesungguhnya, cabaran dan halangan yang ditempuhi mematangkan dan mempersiapkan kita untuk berhadapan dengan tanggungjawab yang lebih besar. Seiring dengan peranan dan fungsinya, PDRM akan terus memikul mandat sebagai agensi penguat kuasa utama negara dalam menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Ucapan penghargaan saya zahirkan kepada seluruh petugas PDRM yang sentiasa “Sedia Berkhidmat” dan komited memberikan perkhidmatan terbaik serta meletakkan kepentingan masyarakat pada tahap teratas selari dengan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

Saya juga merakamkan penghargaan tertinggi kepada pihak Kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada PDRM. Semoga amanah dan tanggungjawab yang digalas dengan penuh ikhlas ini mendapat ganjaran sebaiknya daripada Yang Maha Esa. Didoakan juga semoga segala usaha menjaga keselamatan serta mendaulatkan undang-undang negara mendapat perlindungan-Nya setiap masa, insya-Allah.

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2024.
(TAN SRI RAZARUDIN HUSAIN) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS