Infografik PDRM
.....................................................................................................................................................................................................................................................

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA TAHUN 2024 MASIHI /1445 HIJRAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani
Alhamdulillah segala lafaz puji dan syukur hanya pada Allah, penguasa langit dan bumi. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya, pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anakanda Baginda, Nabi Ismail a.s menjadi ibrah untuk kita sentiasa patuh dengan segala perintah-Nya dan menjadi kekuatan jiwa yang penuh ketaatan pada Yang Maha Esa.

Pengorbanan wira Pasukan yang telah gugur dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram merupakan antara bukti nyata bahawa perjuangan kita bukanlah sia-sia tetapi ia adalah demi mempertahankan keselamatan dan keamanan tanah air tercinta. Semoga segala pengorbanan kita diterima-Nya dan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Kepada Dhuyufurrahman khususnya warga Pasukan yang dipanggil menjadi tetamu Allah menunaikan Rukun Islam ke-5 pada tahun ini, saya mendoakan semoga urusan para jemaah dipermudahkan dan peroleh haji yang mabrur serta umrah yang sempurna.

Bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan ini, patuhilah peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat.

Akhir kalam, saya dan isteri serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1445 Hijrah kepada seluruh umat Islam dan warga Pasukan. Semoga Aidiladha disambut dengan penuh kesyukuran di samping menghayati erti sebenar sebuah pengorbanan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd.

(TAN SRI RAZARUDIN BIN HUSAIN) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS