Infografik PDRM
.....................................................................................................................................................................................................................................................
PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN DEEPAVALI TAHUN 2024
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani
Perayaan Deepavali membawa simbolik sinar cahaya kemenangan dan kebaikan dalam kehidupan. Sambutan perayaan ini merupakan sebahagian daripada keunikan budaya yang dirai dan dikongsi bersama oleh pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Pesta Cahaya ini menyemarakkan lagi nilai teras ‘Hormat’ yang mencerakin kerangka dasar, falsafah dan kerukunan Malaysia Madani. ‘Hormat’ perlu disulami dengan pembudayaan nilai budi bahasa, kesopanan, ketawadukan, toleransi dan saling hormat menghormati dalam kalangan seluruh masyarakat Malaysia dan warga Sang Saka Biru.
Di kesempatan ini, saya serta isteri ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat serta warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang beragama Hindu.
Setinggi-tinggi penghargaan dizahirkan kepada para petugas PDRM yang menjadi wira di sebalik tabir, memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terjamin agar setiap perayaan dapat disambut dengan aman dan harmoni. Teruslah berkhidmat dengan penuh dedikasi dan berintegriti kerana setiap titisan keringat, khidmat dan pengorbanan yang diberikan, adalah satu amanah yang telah dijanjikan ganjaran sebaik-baiknya di akhirat kelak.
Bagi mereka yang merancang untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan ini, pastikan langkah-langkah keselamatan diberi perhatian sewajarnya, agar kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat. Jadilah pemandu yang berhemah dengan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya yang ditetapkan, agar selamat sampai ke destinasi yang dituju.
(TAN SRI RAZARUDIN BIN HUSAIN) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia