Sindiket penipuan kerja sambilan yang beroperasi melalui aplikasi Telegram kini dikesan semakin aktif dengan menggunakan pelbagai taktik baharu bagi memperdaya mangsa.
Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan pekerjaan mudah dengan bayaran komisen tinggi, seperti memberi tanda ‘like’, membuat pesanan dalam talian atau mempromosikan produk. Pada peringkat awal, mangsa akan menerima bayaran kecil bagi menimbulkan keyakinan sebelum diarahkan membuat bayaran pendahuluan atau tugasan tambahan berbayar kononnya untuk memperoleh komisen lebih tinggi.
Setelah bayaran dibuat, sindiket berkenaan akan menghilangkan diri, sekali gus menyebabkan mangsa menanggung kerugian ribuan ringgit. Mereka turut dikesan menggunakan akaun bank tempatan bagi mengaburi mangsa serta menyukarkan tindakan pihak berkuasa.
Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan melalui Telegram atau media sosial, khususnya yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa sebarang temuduga. Semak kesahihan syarikat, elak memindahkan wang ke akaun individu tidak dikenali dan laporkan segera kepada polis sekiranya mengesyaki kegiatan penipuan.