Info Palsu/Penafian
.....................................................................................................................................................................................................................................................

TAKTIK SAMUN: CURI PLAT KENDERAAN TIDAK BENAR

Pihak polis telah mengesan satu sebaran maklumat melalui laman sosial dan aplikasi Whatsapp yang mendakwa berlaku kejadian samun kenderaan dan culik dengan menggunakan taktik mencuri plat nombor kenderaan.

Penjenayah dikatakan akan mencuri plat tersebut semasa kenderaan diparkir di tempat letak kenderaan. Sebaik pemilik kenderaan kembali dan keluar dari kawasan letak kenderaan, penjenayah akan mengekori dan memintas kenderaan mangsa sambil menunjukkan plat kepada pemandu seolah-olah ia terjatuh ketika kenderaan sedang bergerak.

Pemilik kenderaan yang terpedaya akan memberhentikan kenderaan bagi mendapatkan semula plat tersebut dan pada ketika itu penjenayah akan bertindak menyamun atau menculik.

Hasil siasatan lanjut pihak polis mendapati tidak berlaku kejadian seumpama itu yang dilaporkan setakat ini.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak terus menyebarkan mesej yang diterima selagi tidak disahkan oleh pihak berkuasa.

Bagi individu-individu yang sering keluar bersendirian, pastikan langkah-langkah keselamatan diambil, sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan sekeliling.

ACP Datin Asmawati Ahmad
Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat)
Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia
Bukit Aman.

29 Disember 2014

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS