Info Peristiwa

#InfoPeristiwa: TRAGEDI LEBUH RAYA KARAK KORBANKAN 11 ANGGOTA FRU

Pada 28 Februari 1990, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima perkhabaran sedih apabila sepasukan anggota Simpanan Persekutuan (FRU) dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur yang dalam perjalanan menjalani latihan masa di Kuala Terengganu, Terengganu telah mengalami kemalangan di Kilometer (KM) 31 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Pahang.

Kemalangan melibatkan 12 buah kenderaan tersebut telah mengorbankan 11 anggota FRU dari Trup 4B yang ketika itu berada dalam trak paling hadapan bersama empat buah kenderaan FRU lain, sebelum dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan. Insiden tersebut turut mengorbankan empat orang awam.

Siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh masalah brek yang dihadapi oleh bas tersebut, menyebabkan ia gagal dikawal ketika menuruni bukit sebelum terbabas dan merempuh dua buah kereta lalu bertembung dengan trak FRU berkenaan.

Pertembungan kuat yang berlaku telah menyebabkan trak berkenaan terperosok ke bawah bas, sebelum bahagian badannya dihentam oleh sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak daripada perlanggaran tersebut.

Lima anggota FRU telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala enam lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur ketika mendapatkan rawatan akibat cedera parah.

Mereka yang terkorban adalah Koperal Mohd Hilmi Ismail, Koperal Saaid Hassan, Lans Koperal Shahimi Lazim, Lans Koperal Mohd Som Puteh, Konstabel Mohd Lazim Admin, Konstabel Abd Razak Sharif, Konstabel Wan Mazland Bidin, Konstabel Mohd Razali Bidin, Konstabel Mohd Samsudin Hamad, Konstabel Sazali Hussin dan Konstabel Kok Kiong.

Doakan semoga roh-roh mereka sentiasa dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah dan salam takziah.

Ingin ketahui lebih banyak lagi informasi berkaitan sejarah dan artifak PDRM? Ayuh layari dan 'Like' FB Muzium Polis Diraja Malaysia!

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS