#jomBeringat
.....................................................................................................................................................................................................................................................

WASPADA PELAKU SEKSUAL DALAM PENGANGKUTAN AWAM




Gangguan seksual di dalam pengangkutan awam bukanlah isu baru di negara kita malah ia turut berlaku di seluruh dunia, termasuk negara-negara maju. Perkara ini membuatkan ramai wanita berasa takut dan tidak lagi selamat menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Ramai juga mangsa gangguan seksual ini yang enggan membuat laporan polis kerana panik, keliru, malu dan segan jika diejek oleh rakan-rakan apabila diberitahu berkenaan insiden tersebut. 

Wahai adik, kakak, puan, cik, makcik...jangan sesekali berperasaan sedemikian. Natijahnya, masalah ini akan semakin berlarutan dan hanya menjadi isu perdebatan apabila suatu kes gangguan seksual dilaporkan dalam media. Usaha semua pihak untuk membanteras masalah golongan 'bernafsu syaitan' ini juga akan menemui jalan buntu.

Jika anda merasakan seseorang cuba mendekati dengan niat yang tidak baik: 

• Segera jarakkan diri;
• Kurangkan bermain telefon bimbit. Sentiasa peka dengan situasi dan pergerakan individu lain yang berdekatan dengan anda. 

Jika anda merupakan mangsa, perkara yang paling penting adalah:

• Mengingati rupa paras dan bentuk fizikal pelaku;
• Rekodkan tarikh, masa dan tempat insiden tersebut berlaku bagi membantu pihak berkuasa mengesan suspek;
• Bahan bukti seperti rakaman gambar pelaku (melalui telefon bimbit dan sebagainya) serta saksi kejadian juga membantu dalam siasatan kes.

Mana-mana individu yang melakukan gangguan seksual atau mencabul kehormatan merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Nasihat kami, sekiranya ada penumpang terlihat atau menjadi mangsa jenayah, segera dapatkan bantuan daripada kakitangan atau anggota polis bantuan yang bertugas. Kerjasama daripada pengguna bagi membanteras jenayah khususnya di dalam pengangkutan awam adalah sangat diperlukan.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS