Petikan Ucapan KPN
.....................................................................................................................................................................................................................................................

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA TAHUN BAHARU 2021

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan kudrat dan iradat-Nya jualah, kita berjaya mengharungi tahun 2020 yang penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan, sehingga ke penghujungnya.

Tahun 2020 telah menguji kita dengan kehadiran “musuh luar jangka” COVID-19 yang mengorbankan jutaan nyawa manusia di seluruh dunia. Penularan wabak maut tersebut telah memaksa Kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020, sekali gus merubah norma kehidupan seharian rakyat Malaysia. Jelasnya, pelaksanaan PKP secara berfasa sehingga kini, merupakan satu percaturan bijak oleh Kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat kekal terpelihara dan pertumbuhan ekonomi negara tidak lumpuh sama sekali. PDRM telah diberi mandat sebagai peneraju agensi penguat kuasa barisan hadapan, untuk mendisiplinkan masyarakat agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan, demi membendung penularan COVID-19. Walaupun terdedah kepada risiko jangkitan, namun warga PDRM kekal tabah dan komited dalam menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya, itulah pengorbanan yang tidak ternilai dan jihad sebenar dalam kita memastikan keselamatan masyarakat sentiasa dipelihara. Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh barisan petugas PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, demi kesejahteraan masyarakat. Sama-samalah kita merafakkan doa ke hadrat Ilahi, moga kita dijauhkan daripada sebarang mara bahaya dan diletakkan di bawah payung lindungan-Nya setiap masa. Semoga segala pengorbanan kita selama ini mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya dari Allah SWT jua.
Insya-Allah.

Dalam pada itu, kita sedar bahawa di saat kita rela bergadai nyawa demi mempertahankan negara, ada pula segelintir warga Pasukan yang sanggup menjual maruah diri dan memperjudikan imej Pasukan dengan terlibat dalam amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Akibatnya, segala perit jerih dan pengorbanan kita selama ini, persis kemarau setahun hilang dek hujan sehari. Bagi mengekalkan keyakinanan masyarakat terhadap Pasukan, PDRM telah membangunkan Pelan Antirasuah Polis Diraja Malaysia 2020-2024 untuk membebaskan agensi ini daripada terus dibelenggui oleh isu rasuah dan salah guna kuasa. Semoga pelan yang terancang dan terangkum ini dapat dihayati oleh setiap lapisan warga Pasukan, demi mengekalkan kredibiliti PDRM sebagai agensi penguat kuasa undang-undang utama negara.

Marilah kita sama-sama melangkah masuk ke tahun 2021 dengan memasang niat, mempasak tekad dan membulatkan iltizam, untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti kepada masyarakat serta negara.

Semoga 2021 membawa seribu rahmat dan keberkatan kepada kita semua. Aamiin Allahumma Aamiin.
(TAN SRI DATO’ SERI ABDUL HAMID BIN BADOR) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

Image may contain: text that says 'Terbitan o Konsep CPN SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2021 f Polls Diraja Malaysia pdrmsia pdrmsla_official official PDRMsia PDRMsia'
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS