Petikan Ucapan KPN
.....................................................................................................................................................................................................................................................

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN TAHUN BAHARU CINA TAHUN 2021


Salam Sejahtera dan Salam Polis Diraja Malaysia.

Saya dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rakyat Malaysia berketurunan Tionghoa yang akan meraikannya pada 12 Februari 2021.

Meskipun sambutan Tahun Baharu Cina kali ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya tanpa persembahan tradisi tarian singa dan amalan rumah terbuka, namun kita masih berpeluang untuk meraikannya bersama ahli keluarga terdekat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan. Saya yakin, kemeriahan suasana berkumpul untuk makan besar keluarga (family reunion dinner) adalah saat yang dinanti-nantikan dan amat disyukuri, walaupun ia hanya dibenarkan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon lingkungan 10km radius tanpa rentas daerah dan negeri.

Dalam situasi semasa yang melanda negara, saya berharap rakyat Malaysia dapat terus bersabar dengan sekatan dan SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan ketika ini, termasuklah mengamalkan norma baharu dalam menyambut perayaan. Kita harus bersatu hati dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam membantu usaha Kerajaan membendung penularan wabak maut COVID-19, demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. Yakinlah bahawa pengorbanan kita pada hari ini bukanlah suatu perkara yang sia-sia, tetapi ia adalah penentu kepada pengakhiran krisis COVID-19, sekali gus membolehkan kita menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Kepada seluruh warga PDRM, sama-samalah kita berusaha untuk memastikan tanggungjawab memelihara kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara, dipikul dengan penuh amanah serta dedikasi. Teruskan perjuangan kita menentang musuh halus COVID-19 hingga ke penghujungnya dan percayalah bahawa setiap kudrat serta keringat yang kita korbankan di saat ini, sentiasa diiringi dengan doa serta harapan daripada seluruh ahli keluarga dan masyarakat.

“Gong Xi Fa Cai” , “Xin Nian Kuai Le”

(TAN SRI DATO’ SERI ABDUL HAMID BIN BADOR) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

May be an image of text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS