Petikan Ucapan KPN
.....................................................................................................................................................................................................................................................

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI TAHUN 2021 MASIHI / 1442 HIJRAH


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Aidilfitri.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd

Pada saat berlabuhnya tirai Ramadan, maka bergemalah laungan takbir dan kalimah-kalimah tahmid menyambut ketibaan Syawal, sebagai tanda kemenangan umat Islam telah pun menyempurnakan Rukun Islam yang ketiga. Sebagaimana Ramadan yang dilalui berjaya mendidik kita untuk berjihad mengawal hawa nafsu dan menjadi hamba-Nya yang bertaqwa, maka begitulah juga semangat dan pengorbanan yang dituntut ke atas kita dalam menentang ancaman COVID-19 sehingga ke penghujungnya.

Meskipun Aidilfitri ini disambut dalam suasana hiba dan kerinduan untuk berkumpul bersama ayah dan bonda di kampung halaman, namun dalam situasi di mana nyawa menjadi taruhan, kita perlu lebih rasional serta beralah untuk melupakan seketika kegembiraan yang telah kita nikmati sebelum ini. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, inilah pengorbanan terbesar yang perlu dizahirkan untuk melawan pandemik, di mana kita perlu terlebih dahulu menang mengawal hati dan perasaan terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta, bagi mengelakkan wujudnya peningkatan kes positif COVID-19 dalam tempoh perayaan.

Kepada warga PDRM yang dikasihi, cekalkanlah hati menempuh apa jua dugaan, dalam dunia kepolisan yang penuh mencabar ini. Marilah kita terus berdiri meneruskan perjuangan demi memastikan kesejahteraan rakyat dan keamanan negara kekal terpelihara.

Ingatlah bahawa, setiap kudrat yang telah kita curahkan, air mata yang sering kali jatuh dan diseka, diiringi oleh nawaitu yang ikhlas Lillahi Ta’ala, telah pun dijanjikan ganjaran oleh-Nya. Dengan penuh tawaduk, marilah kita sama-sama menadah tangan, memohon diberikan kekuatan dan perlindungan daripada Allah SWT, agar dapat melaksanakan tanggungjawab hisbah hingga ke akhir tempoh perkhidmatan. Insya-Allah.

Akhirul kalam, saya dan isteri serta seisi keluarga, menyusun sepuluh jari memohon ampun serta kemaafan atas sebarang kekhilafan, zahir mahupun batin kepada seluruh warga PDRM dan rakyat Malaysia, amnya.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Minal 'Aidin Wal Faizin”

(DATO’ SRI ACRYL SANI BIN HAJI ABDULLAH SANI) IG
Ketua Polis Negara Polis Diraja Malaysia
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS