Petikan Ucapan KPN
.....................................................................................................................................................................................................................................................

PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2022 KETUA POLIS NEGARA

Segala puji dipanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana dengan izin-Nya jualah, kita berjaya mengharungi tahun 2021 yang penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan, sehingga ke penghujungnya.

Tahun 2021 melabuhkan tirainya dengan membawa bersama episod duka seluruh penduduk dunia yang terkesan akibat penularan wabak maut COVID-19 yang masih belum berkesudahan. Kehidupan Keluarga Malaysia dalam norma baharu benar-benar menguji kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diberikan mandat sebagai agensi penguat kuasa utama, untuk mendisiplinkan masyarakat agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan. Walaupun terdedah kepada risiko jangkitan, namun warga PDRM kekal tabah dan komited dalam menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan.

Belum pun mampu menghela nafas lega, negara kita diuji pula dengan bencana banjir luar biasa yang melanda beberapa buah negeri. Kita sedar bahawa penularan wabak COVID-19 dan krisis bencana alam ini adalah sesuatu yang berlaku di luar jangkaan dan kawalan kita. Pun begitu, saya berbangga dengan warga Pasukan yang meletakkan kepentingan keselamatan masyarakat sebagai keutamaan, dan terus menabur khidmat kepada negara dalam apa jua keadaan, selari dengan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh barisan petugas PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, demi kesejahteraan masyarakat. Sama-samalah kita memanjatkan doa moga kita dijauhkan daripada sebarang mara bahaya dan diletakkan di bawah payung lindungan-Nya setiap masa. Semoga segala pengorbanan kita selama ini mendapat ganjaran tertinggi daripada Allah SWT jua. Insya-Allah.

Mengambil iktibar daripada cabaran, dugaan dan pencapaian sepanjang tahun 2021, marilah kita sama-sama melangkah masuk ke tahun 2022 dengan semangat kental penuh iltizam, agar kita dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti kepada masyarakat serta negara. Sama-samalah kita berdoa semoga tahun 2022 memberikan sinar kepada seluruh dunia agar kita dapat menjalani kehidupan normal seperti sedia kala.

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2022.

(TAN SRI ACRYL SANI BIN HJ. ABDULLAH SANI) IG
Ketua Polis Negara
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS