Petikan Ucapan KPN
.....................................................................................................................................................................................................................................................

HARI POLIS KE-216: PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA SAMBUTAN PERINGATAN HARI POLIS KE-216 TAHUN 2023

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyambut Peringatan Hari Polis Ke-216 pada tahun ini. Menginjak ke usia 216 tahun penubuhannya, PDRM kekal berdiri megah serta ampuh sebagai agensi penguat kuasa tertua dan terulung negara.

Saban tahun, tanggal keramat 25 Mac disambut bagi mengangkat jasa dan pengorbanan wira-wira PDRM yang telah gugur di medan bakti, demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan setiap inci tanah bertuah ini daripada ancaman musuh.

Berlandaskan amanah dan nawaitu perjuangan yang sama, pengorbanan wira-wira terdahulu akan diteruskan oleh generasi pada hari ini, meskipun setiap peredaran zaman menjanjikan cabaran yang berbeza.

Bersempena Ulang Tahun Peringatan Hari Polis kali ini, saya mengajak seluruh warga Pasukan untuk memperbaharui ikrar taat setia kepada Raja dan Negara, menjunjung Perlembagaan Undang-Undang, serta terus beristiqamah dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, demi kemaslahatan agama, bangsa dan nusa tercinta.

Sesungguhnya setiap pengorbanan yang dicurahkan dengan penuh kecintaan dan keikhlasan demi mendapatkan keredaan-Nya, telah dijanjikan ganjaran serta kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT, Insya-Allah.

Kepada masyarakat Malaysia, kami amat berterima kasih atas segala sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada PDRM selama ini. Jalinan akrab ahli masyarakat sebagai rakan strategik terpenting PDRM, telah membantu Pasukan dalam usaha mencegah jenayah. Justeru, konsep Kepolisan Masyarakat akan terus diperteguh bagi melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab ke arah matlamat mewujudkan persekitaran sifar jenayah di negara ini, seiring dengan tema “POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA” yang terus dikekalkan pada sambutan Hari Polis kali ini.

PDRM juga menzahirkan penghargaan tertinggi kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, pasukan-pasukan sahabat serta semua pihak yang sentiasa menyokong PDRM selama ini. Semoga hubungan baik serta jalinan kerjasama ini dapat terus diperkukuh ke arah mencapai satu matlamat yang sama demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal terpelihara.

Selamat Menyambut Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023.

(TAN SRI ACRYL SANI BIN HJ. ABDULLAH SANI) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

May be an image of 7 people, people standing and text that says 'Konsep Setla FOLIS POLE A MA SELAMAT MENYAMBUT HARI HARPPOLIS KE-216 POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA Polis Diraja Malaysia pdrmsia official PDRMsia PDRMsia PDRMsia Official'

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS