Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Tuhan pentadbir sekalian alam kerana dengan izin-Nya kita dapat menyambut Hari Sukan Negara Peringkat Polis Diraja Malaysia Tahun 2024.
Hari
Sukan Negara (HSN) merupakan agenda nasional yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober. Program ini menyokong hasrat Kerajaan untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah "negara bersukan" dengan membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup sihat dan aktif.
Seiring matlamat Hari Sukan Negara 2024 dengan bertemakan "Cergas Bersama", PDRM menyahut seruan melalui penganjuran pelbagai program serta aktiviti sukan dan rekreasi bagi meningkatkan kesedaran akan kepentingan amalan gaya hidup cergas dan aktif sepanjang tahun dalam kalangan warganya.
Selaras dengan slogan "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada", Hari Sukan Negara peringkat PDRM 2024 turut dimeriahkan dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat bermatlamat mengukuhkan lagi semangat ukhuwah dan integrasi nasional antara warga PDRM dengan komuniti setempat.
PDRM memberikan sokongan padu kepada pelaksanaan Hari Sukan Negara, yang bertujuan untuk menyuntik sinergi pembangunan ekonomi menerusi pemerkasaan Sektor Industri Sukan dan Rekreasi. Penglibatan atlet PDRM dalam pelbagai sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa adalah manifestasi Pasukan terhadap dasar ini.
Sukan bukan sahaja membentuk kesihatan fiizkal, malah ia juga meningkatkan disiplin, kerjasama dan semangat kesukanan. Peluang sebegini perlu dimanfaatkan untuk saling berinteraksi serta bersosial dalam satu keluarga besar Pasukan. Penglibatan PDRM dalam aktiviti sukan adalah penting dalam menuntut kecergasan dan kesiapsiagaan pegawai polis di tahap yang optimum sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran dalam penugasan harian.
Justeru, saya mengajak seluruh warga Sang Saka Biru agar membudayakan aktiviiti sukan dan kecergasan demi manfaat kesihatan menyeluruh untuk jangka masa panjang bagi meningkatkan kualiti kehidupan sosial. Marilah sama-sama menjadikan PDRM sebagai sebuah badan penguat kuasa utama yang bukan sahaja komited dalam menjalan tugas, tetapi juga aktif dalam mempromosikan gaya hidup sihat.
(TAN SRI RAZARUDIN BIN HUSAIN) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia